
Anda mungkin biasa dengar perihal kerjaya sebagai tukang kimpal(welder) didasar laut, ramai yang mengatakan gaji mereka ini sangat besar, sehingga boleh mencecah puluhan ribu ringgit. Ramai diantara kita yang mungkin bercita- cita untuk menjadi seperti mereka apabila sudah dewasa, tetapi pelbagai cabaran dan risiko harus dihadapi demi mendapatkan ganjaran sebegitu.
Sekarang, cuba bayangkan suatu hari nanti, sekiranya peradaban manusia semakin maju dan ruang angkasa mula dijadikan sebagai tempat tinggal dan pusat pembangunan, tahukah anda bahawa pekerjaan sebagai tukang kimpal mungkin tidak diperlukan?
Di ruang angkasa, besi- besi akan bercantum sesama sendiri tanpa memerlukan sebarang kimpalan, seperti ada gam istimewa yang melekatkannya!

Fenomena luar biasa ini dipanggil kimpalan sejuk atau cold welding. Ia berlaku apabila dua kepingan logam yang bersih dan sama jenis bercantum menjadi satu tanpa sebarang haba atau tekanan yang kuat. Ini kerana atom-atom pada permukaan kedua-dua besi tidak dapat membezakan bahawa ia adalah dua objek yang berasingan, lalu ia akan bergabung.

Di bumi, kimpalan sejuk ini tidak pula berlaku disebabkan oleh kehadiran udara dan oksigen di sekeliling kita. Apabila besi terdedah kepada oksigen, ia akan membentuk lapisan oksida yang sangat nipis, iaitu karat. Lapisan ini bertindak seperti perisai yang menghalang atom-atom besi daripada bersentuhan antara satu sama lain.

Tetapi di angkasa lepas, tiada udara dan oksigen. Maka, sekiranya besi yang kita bawa dari bumi untuk projek terkikis lapisan oksidanya (misalnya akibat geseran), permukaan besi yang bersih dan tulen akan terdedah. Tanpa perisai tersebut, dan dua permukaan besi bersentuhan, atom-atomnya akan serta-merta berinteraksi dan membentuk ikatan yang kuat, seolah-olah ia adalah satu objek sahaja.
Jadi, sekiranya anda bercita- cita untuk mengeksplorasi ruang angkasa, lupakan kerjaya sebagai tukang kimpal kerana anda mungkin tidak akan dapat job nanti di sana.